Pada tanggal 8 Mac 2013, sedang aku dengan kawan-kawan berbakti bersama penduduk kampung di perkampungan Kampung Belantik Dalam Sik, Kedah, kami telah dikejutkan dengan berita yang mengembarkan negara iaitu kehilangan kapal terbang komersial MH370 dari radar dengan menara kawalan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selepas sejam berlepas pada jam 00.41 pada 8 Mac 2014. Kami begitu terkedu apabila mendengar berita tersebut. Sangkaan aku pada waktu tersebut, bagaimana pesawat MAS yang begitu besar tersebut boleh hilang begitu sahaja tanpa dikesan ? Terbayang di fikiranku, mungkin pesawat itu terjunam atau terpaksa mendarat di kawasan hutan belantara yang entah dimana seperti cerita kegemaranku Lost. Ya Allah apakah perasaan keluarga ahli penumpang ketika itu ? Semuanya bermain-main dalam pemikiranku tanpa henti.
Sejurus selepas kehilangan kapal terbang tersebut dilaporkan, aktiviti kami di kampung tersebut terhenti seketika. Kami seperti terkumpul untuk membincangkan apa yang telah terjadi. Perbincangan kami berlaku di kedai kopi Pak Leh. Ramai juga orang kampung yang datang untuk melihat berita, ada juga yang mengeluarkan teori sendiri, ada juga yang hanya mendengar. Tetapi apa yang pasti, kami menunggu dengan penuh minat dan begitu asyik terhadap berita tergembar pagi tersebut. Pada hari perpisahan kami, ketua kampung meminta kami untuk meluangkan seminit dua untuk mendoakan keselamatan penumpang kapal terbang MH370. Hati aku seperti meronta-ronta untuk kembali segera ke kampus untuk membuka komputer riba ku untuk mengetahui perkara selanjutnya mengenai peristiwa misteri tersebut.
Di dalam perjalanan pulang ke UUM, kami telah disajikan dengan berita dari corong radio yang tidak henti melaporkan mengenai kehilangan kapal terbang MH370. Berita itu berulang-ulang seperti lagu yang tidak ada penghujung dan kesemuanya mengenai butir-butir kehilangan kapal terbang tersebut. Antara butiran yang dapat kami pastikan adalah jumlah penumpang iaitu seramai 227 orang dewasa dan 2 orang bayi serta 12 orang anak kapal. Kapal terbang tersebut berlepas dari KLIA ke Beijing pada 12.41 pagi dan hilang daripada radar atau terputus hubungan dengan menara kawalan KLIA pada 01.30 pagi waktu Malaysia di perairan laut Vietnam. Kapal tersebut dijangka tiba di Beijing pada 6.30 pagi waktu Malaysia.
Antara perkembangan yang kami terima daripada rakan-rakan, penumpang-penumpang kapal tersebut terdiri daripada pelbagai warganegara termasuklah Malaysia, Indonesia, China, Australia, Perancis, Amerika Syarikat, New Zealand, Ukraine, Kanada, Rusia, Itali, Belanda dan Austria. Sejurus kembali, kelihatan di cafe DPP TM penuh dengan para pelajar yang kelihatan khusyuk melihat kaca mata. Pandangan mata mereka tidak terkalih walaupun minit permainan bola hampir bermula. Semuanya tanpa mengira bangsa dan warganegara kelihatan berminat untuk mengetahui perkembangan lanjut telah kehilangan kapal terbang tersebut. Berita malam tersebut turut memaparkan reaksi dan ulasan ahli keluarga mangsa yang tidak dapat membendung rasa sedih dan pilu mereka serta harapan mereka supaya bersama kembali. Aku melihat sekelilingku, kelihatan ada beberapa orang pelajar turut menitiskan air mata melihat luahan pilu seorang ibu yang begitu setia mengharapkan perkhabaran yang baik mengenai kehilangan anaknya untuk kembali ke pangkuan keluarga. Tidak aku sedari, pipiku panas dengan air mataku sendiri. Aku terfikir, bagaimana sekiranya ahli keluargaku sendiri berada di atas kapal tersebut ? Aku tidak rela dengan perpisahan tanpa meminta keampunan daripada ibu dan abahku.
Melalui berita lanjut, didapati terdapat dua orang penumpang yang memiliki pasport curi telah berjaya membolosi kawalan ketat imigresen negara dan menaiki kapal terbang tersebut. Rata-rata kami timbul spekulasi bagaimana kawalan keselamatan negara boleh dibolosi dengan begitu mudah sekali ? Berita turut melaporkan pihak berkuasa dan badan NGO turut menawarkan bantuan seberapa banyak yang mungkin kepada seperti khidmat kaunseling untuk membantu anggota keluarga mendapatkan sokongan emosi dan psikologi. Selain daripada itu, peristiwa malang ini turut mendapat perhatian oleh banyak negara luar dan badan keselataman dunia dan mereka tampil untuk menyumbang tenaga dan sokongan kepada negara dalam misi mencari dan menyelamat. Buat pertama kali, kami melihat begitu banyak mata dialihkan kepada Malaysia dek kerana peristiwa malang ini. Mereka tampil bukan sahaja untuk membantu dari segi penyiasatan tapi juga bantuan ketenteraan. Menurut berita lagi, sebanyak 40 buah kapal dan 26 pesawat daripada pelbagai negara telah dikerahkan untuk melakukan misi mencari dan menyelamat kapal terbang MH370. Bantuan dan hubungan merentasi kementerian dan juga negara dilakukan menunjukkan betapa beratnya misi kali ini.
Hari demi hari berlalu, peristiwa malang ini tetap menjadi berita utama di dada akhbar dan juga radio. Saban hari, aku turut mengikuti perkembangan selanjutnya mengenai MH370 yang masih hilang. Pelbagai spekulasi yang telah aku dengar dan pelbagai tindakan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa. Semuanya bagai tidak putus harapan dan masih mengharapkan berita baik. Antara andaian yang timbul adalah konspirasi yang wujud, kemungkinan kapal terbang itu telah dialihkan daripada laluan yang ditetapkan, dan tidak kurang juga andaian kapal tersebut telah disabotaj dan dirampas oleh pihak lain. Pihak berkuasa turut menjemput beberapa pakar dunia dalam penerbangan untuk menyiasat dan melakukan siasatan mendalam terhadap apa yang boleh terjadi dan kemungkinan yang berlaku. Namun apa yang aku kagum adalah, ramai rakyat Malaysia dan negara lain yang begitu prihatin dengan peristiwa yang menimpa MH370. Solat hajat dan doa dianjurkan hampir setiap hari oleh muslimin dan muslimat segenap masyarakat. Alhamdullilah di sebalik kemaslahatan dan kekaburan yang menimpa, keyakinan terhadap kekuasaaan Yang Maha Esa itu yang dicari.
Kehilangan kapal terbang MH370 masih menenui jalan buntu sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kita harus berserah hanya kepada takdir. Kejadian ini turut membuktikan bahawa pihak berkuasa amat prihatin dan nama baik negara sehingga ramai pihak yang turut bertungkus-lumus menghulurkan bantuan dan kepakaran. Ini turut menunjukkan selagi ada yang berharap maka kita tidak seharusnya berhenti berusaha. Maka jangan berhenti berharap untuk MH370.
Sumber :
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140312/dn_11/Empat-elemen-disiasat#ixzz2vlxPWnmw
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kehilangan-mh370-misteri-bagi-pakar-penerbangan
No comments:
Post a Comment