Ketika membelek-belek surat khabar pagi Sabtu lepas, terpampang di muka depan akhbar "Suami Isteri Kena Penjara". Sebelum ini, untuk mengikuti perkembangan pasangan perantauan Sweden ini tidaklah susah. Ini kerana kisah keluarga ini sememangnya sudah terpampang si seluruh negara. Bagaimana nasib malang keluarga ini dek kerana perbezaan budaya dan ketidaksamaan pemahaman, hukuman dijatuhkan ke atas pasangan Melayu ini. Tertuduh merupakan Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya Shalwati Norshal dijatuhkan penjara masing-masing 10 bulan dan 14 bulan selepas mendapati bersalah mencabuli integriti dan memukul anak mereka. Perkataan "mencabuli integriti" ini mungkin terlalu keras bagi masyarakat kita yang hanya menafsirkan perbuatan pasangan berkenaan sebagai "cara mendidik anak-anak". Namun begitu kita harus memahami situasi perkataan ini bagi masyarakat dan budaya di Sweden.

Sweden juga menurut merupakan negara pertama yang telah mengeluarkan Akta pada tahun 1979 bertujuan untuk menghalang penderaan fizikal ke atas kanak-kanak walaupun atas tujuan disiplin sekalipun. Maka sejak dari itu, banyak negara lain yang turut mengeluarkan Akta berkenaan termasuklah New Zealand, Afrika dan negara Eropah lain. Akhbar The Star baru-baru ini turut melaporkan bahawa sekiranya pasangan tersebut tidak didapati bersalah, mereka tetap akan kehilangan hak penjagaan anak-anak mereka. Sungguh kenyataan ini amat menggerunkan bagi setiap ibu bapa yang menatang anak bagai minyak yang penuh. Cuba kita lihat dari perspektif masyarakat Sweden sendiri, golongan muda mudi mereka dilayan dengan sebegitu rupa mungkin kerana bagi mereka, generasi muda perlu dididik dengan nilai kemanusiaan dan keadilan diri dan pendidikan "human right" telah diasuh dari sejak kecil lagi sehinggakan golongan belia mereka sendiri terdorong untuk membela diri. Ini amat berlainan sekali dengan cara pemikiran belia kita. Kata-kata dan arahan ibu bapa mesti dipatuhi selagi tidak bertentangan dengan hukum agama Islam. Ibu bapa dan golongan tua lebih-lebih lagi mesti dihormati dalam budaya masyarakat Asia.
Hendak ditelan mati bapak, hendak diluah mati emak. Peribahasa ini mengingatkan saya kepada situasi ini. Sepatutnya saya menyalahkan anak berkenaan kerana tindakan dia yang melampaui batas. Bercerita benda bukan-bukan kepada pihak luar mengenai keadaan keluarga kita. Sungguh tidak hormat kepada orang tua hendaknya. Namun, kita harus bertindak rasional dalam meletakkan kesalahan ke atas bahu kecil anak- anak berkenaan. Kita harus menyelami perasaan emosi, psikologi dan mentaliti kanak-kanak sebelum dan selepas kejadian. Menurut Mok (2013) persekitaran sekeliling kanak-kanak akan mempengaruhi hasil, karektor dna personaliti kanak-kanak berkenaan. Persekitaran sekeliling bermaksud pengalaman sewaktu membesar kanak-kanak tersebut termasuklah faktor-faktor sosial seperti penganiayaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, kes pelacuran kanak-kanak, persengketaan ibu-bapa, pergaduhan dengan adik-beradik dan lain-lain lagi. Maka, kanak-kanak yang sering terdedah dengan masalah-masalah faktor sosial sewaktu membesar akan kemungkinan mengalami masalah psikologi dan mahukan perhatian.

Menurut beliau lagi, sewaktu proses pembesaran berlaku, kanak-kanak akan lebih mengingati peristiwa yang dilaluinya dan berkemahiran untuk mengadaptasi kepada keadaan tersebut. Sekiranya kanak-kanak mengalami peristiwa buruk di dalam pembesarannya, ini akan menyebabkan pembentukan kepada perwatakan kanak-kanak berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya kanak-kanak berkenaan pernah dipukul oleh ayahnya akibat sesuatu kesalahan, ini akan membina personaliti yang berdendam dan mempengaruhi cara kanak-kanak itu berkawan dan membina kehidupan kelak.
Oleh itu, peranan ibu-bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak terutamanya ketika kecl dan sedang membesar kerana ia akan mempengaruhi perwatakan dan personaliti kanak-kanak berkenaan. Menurut Smiler (2004) pula mengatakan bahawa peranan ibu-bapa yang bertindak untuk mendisiplinkan anak-anak sewaktu kecil akan membentuk personaliti yang berdisiplin. Ibu bapa yang bertindak untuk mendidik anak-anak dan mengajar serta menemani sewaktu kecil akan membentuk personaliti anak yang berdisiplin dan mempunyai lokus kawalan dalaman yang tinggi. Oleh sebab itulah ibu-bapa perlu memberikan pendidikan yang baik dan latihan kepada anak-anak sewaktu sedang membesar untuk memastikan anak-anak membesar dalam keadaan persekitaran yang baik dan sihat.
Rujukan
Mok, M. (2013). The early chilhood experiences in psychology development. The International Journal of Management and Innnovations. 5(2), 89-99
Zaharah Othman. (2014, March 28). Mahkamah Percaya Cerita Anak Tertuduh. Berita Harian, p 18
No comments:
Post a Comment